Pembahasan Pertahanan dan keamanan Negara Kesatuan Republik INDONESIA dan Dunia
Selasa, 10 Juni 2014
APMM Pertingkat Kekuatan Radar Pantau Pergerakan Kapal Di Sabah
.APMM akan memasang lagi 3 sistem radar Remote Sensor Site (RSS), di Pulau Mangalum dan Kuala Penyu di Sabah serta Pulau Kuraman di Labuan (photo : Puncak)
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Dalam memperkasakan pemantauan pergerakan kapal laut di perairan Sabah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan membina tiga lagi sistem radar Remote Sensor Site (RSS), di Pulau Mangalum dan Kuala Penyu di Sabah serta Pulau Kuraman di Labuan menjelang Jun 2015.
Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Maritim APMM, Laksamana Pertama Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata sistem radar itu termaktub dalam program Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) dengan APMM kini mempunyai tiga RSS di Sabah iaitu di Pulau Bambangan, Pulau Mantanani Kecil dan Pulau Gaya sejak dua tahun lalu.
"Jika tiga RSS ini dibina, sistem SWASLA akan merangkumi pemantauan keseluruhan Pantai Barat Sabah termasuk Perairan Teluk Kimanis, Papar dan Teluk Brunei, bergantung kepada kelulusan kewangan," katanya kepada Bernama.
RSS merupakan sistem yang dilengkapi dengan kamera jarak jauh yang beroperasi pada waktu siang dan malam serta boleh menganggarkan ukuran objek pada saiz asalnya selain mempunyai radar yang berfungsi dalam sebarang keadaan cuaca.
Sistem rangkaian radar itu beroperasi 24 jam sehari dan pengawasan boleh dilakukan sehingga 60 batu nautika dengan pusat pengawasan utama adalah di Kota Kinabalu.
Zulkifli berkata beberapa negara maju seperti Jepun, Australia dan Singapura turut mengguna pakai sistem itu.
Mengulas cadangan penggunaan satelit khas di Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), beliau menyambut baik cadangan berkenaan namun pihak terbabit perlu memikirkan faktor lain.
"Beberapa faktor lain perlu difikirkan seperti kos dan kepakaran sedia ada, sebelum kita hendak melaksanakan sesuatu teknologi itu, misalnya mereka yang mengendalikan teknologi itu perlu ada ilmu pengetahuan yang cukup barulah faedahnya dapat dimaksimumkan," katanya.
Katanya APMM akan sentiasa bekerjasama dan mengutamakan keselamatan perairan negara dan setakat ini menugaskan sembilan kapal untuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk keselamatan di Sabah.
"Kita akan tambah lagi aset yang kita rasa perlu ke ESSCOM seperti bot-bot kecil untuk mengawasi perairan negara khususnya di Sabah dan kita komited dalam membantu membanteras jenayah rentas sempadan ini," katanya.
(Bernama)
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar